Home / Uncategorized / NAK HAFAL QURAN, TAPI TAK TAHU CARA MUDAH?

NAK HAFAL QURAN, TAPI TAK TAHU CARA MUDAH?

Ramai yang berimpian untuk menghafal al-Quran, tetapi niat hanya terhenti di tengah jalan. Ramai juga pelajar sekolah Tahfiz yang berhenti sekolah kerana berasa tidak mampu untuk meneruskan hafalan. Kenapa begitu? Susah ke menghafal Quran ni?

Sebenarnya, kalau kita tahu caranya, pasti tidak sesukar yang kita bayangkan. Yang penting, niat kena betul dan azam kena kuat!

Ada beberapa tips mudah untuk menghafal al-Quran yang boleh sama-sama kita amalkan. Jom cuba tips ini! 😀

  1. Niat

Bercakap tentang niat, kita kena tahu bahawa niat adalah asas segala perbuatan. Kalau niat kita betul, ikhlas melakukannya kerana Allah, dan mahu mendapatkan redhaNya, pasti Allah akan permudahkan jalan kita. Jauhi dari sifat ingin menunjuk-nunjuk dan riak kerana ia hanya akan mensia-siakan usaha kita.

  1. Jangan bertangguh

Jika kita ada niat untuk menghafal al-Quran, mulakan sekarang kerana waktu itu motivasi kita untuk menghafal sangat tinggi. Untuk kekalkan momentum motivasi, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita tentang betapa banyak faedah-faedah menghafal al-Quran dan betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan pada kita.

Kemudian, buat satu jadual waktu menghafal dan disiplinkan diri untuk ikut jadual tersebut. Jadual akan membuatkan masa kita lebih tersusun dan lebih bermotivasi untuk menghafal. Masa yang terbaik untuk menghafal ialah selepas subuh dan fajar kerana waktu itu minda kita dalam keadaan “fresh”.

  1. Tinggalkan lagu-lagu ‘lagha’

Jika kita selalu dengar lagu-lagu ‘lagha’ atau erti kata lain, lagu-lagu yang melalaikan, tinggalkan! Bagaimana caranya? Delete semua lagu yang ada di dalam playlist telefon pintar dan menggantikannya dengan bacaan-bacaan al-Quran. Ya, kita akan rasa ‘sayang’ untuk buang semua lagu lebih-lebih lagi lagu yang kita minati dan selalu menjadi halwa telinga kita. Tapi percayalah, itu lebih baik daripada menghitamkan hati dengan lagu-lagu yang melalaikan dan seterusnya menyukarkan kita untuk menghafal al-Quran.

Inilah masanya untuk kita ubah gaya dan budaya hidup kita kepada yang lebih baik. Pupuk cinta terhadap al-Quran dengan mendengar alunan bacaan al-Quran dengan kerap, dan secara tidak langsung memudahkan kita untuk menghafal al-Quran.

  1. Baca berulang kali

Baca berulang kali adalah cara terbaik untuk kita mengingati hafalan. Kita juga boleh membuat pembahagian, dan menghafal mengikut bahagian tersebut. Sebagai contoh, bahagikan satu muka surat kepada tiga bahagian. Selepas “master” bahagian pertama, barulah teruskan kepada bahagian kedua.

  1. Memahami apa yang dihafal

Jika kita hafal dan faham apa yang dihafal, itu lebih baik daripada menghafal “kosong”. Bukan sahaja memudahkan kita menghafal, tetapi membuatkan kita berasa lebih seronok untuk menghafal kerana kita tahu apa yang disampaikanNya melalui al-Quran.

  1. Doa

Setelah berusaha untuk menghafal dan menjaga hafalan, maka seharusnya kita meminta bantuan dari yang Maha Memperkenankan doa untuk menguatkan ingatan kita agar tidak mudah lupa apa yang dihafal. Semoga apa yang dihafal dapat terus diingat. Insha Allah.

Semoga tips ini bermanfaat untuk semua 🙂

 

Sumber foto: Google, Pexels

 

About admin

Check Also

TIPS SIMPLE LAILATUL QADAR UNTUK NEWBIE

          Ini adalah tips amalan lailatul qadar untuk Newbie. Bermaksud, untuk …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *